Tuesday, November 30, 2010

Mujur aku punya Dia

Dalam hati ada tangisan,
Mataku wakil dalam mengalirkan
Namun masih memiliki keindahan,
Kerna sentiasa dipujuk Tuhan.


Allah.Allah.Allah
Mujur aku punya Allah

Jiwa dan Hati

Aku yang menasihati diriku...
Tepat lagi menasihati nafsuku,
Memujuk ia mentaatiMu...

Berdiamlah,
Dengan dua perkara.

Pertama.
Apabila ditegur kesalahan kita.
Ya.
Ada jiwa yang terguris.
Namun terima.
Jangan terus membantah.
Ya.
Walau kita seolah tahu sebabnya.
Ya.
Walau kita telah terlebih dahulu menganalisanya.
Tidak.
Sebab, sebabnya hanyalah dari perspektif kita.
Tidak.
Kerna kita mungkin tidak habis menganalisa.
Berguna.
Kerna ada sebab Allah membenarkan perkataan mereka sampai pada kita.
Benar atau salah tiada pentingnya.
Tetap.
Tinggal perbalahan.

Kedua.
Apabila melihat kesalahan orang lain.
Ya.
Walau berdalil tentangnya.
Ya.
Kemudian berdalillah pula, kepada diri sendiri,
Tentang bersangka buruk pada manusia,
Tentang umpatan dalam hati sendiri,
Cintailah semua manusia..
Kerna ia suruhanNya pada kita...

Dunia ini hanya satu cerita,
Yang diolah indah dari Pencipta...
Persepsi, pandangan, ilmu kita,
Hanya secedok kecil air dari lautan...
Tiada pernah cukup untuk menghasilkan satu penilaian, persepsi, atau pandangan...

Kepada Allah diserah segala urusan,
Dari Allah dipinta semua penilaian...
Hanya Allah yang berkuasa untuk semua itu...

Tugasku hamba hanya hamba...
Taat patuh pada perintah Tuhannya.Ya Allah ku mohon jiwa yang selamanya merendah diri.
Ya Allah ku mohon hati yang selamanya bersih.

Monday, November 29, 2010

Ya Allah, maafkanlah hambaMu ini yang sering mungkin angkuh dalam bicara. Bicara "aku", bicara "kita". Namun pilihan kata-kata apa yang paling sesuai Ya Allah dalam menyampaikannya? Maafi hambaMu. Aku seringkali ditimpa inkuiri begitu dalam rasa. Mungkin patut berdiam saja selamanya...

Monday, November 22, 2010

Izinkan aku untuk berCINTA

Ku berjalan,
Di bumiMu,
Penuh impian,
Dalam menakluki,

Namun di suatu hari,
Ku tak mampu terus lagi,
Langkahku terhenti,
Seolah terkunci...

Aku berhenti,
Lama,
Aku merenung,
Lama aku merenung,
LangitMu, AwanMu, Bulan BintangMu,
Aku bertanya,
Apa yang kau mahu dariku,
Mengapa segalanya terhenti?

Dalam keinsafan aku kembali,
Langkahku bina,
Satu persatu lagi,
Namun kini,
Ku rasa langkah ini lebih bermakna,
Kerna melangkah dalam menakluk CINTA..

Ku bersyukur padaMu Yang Esa,
Atas langkah lalu yang berhentinya yang seolah dipaksa...
Ku bersyukur ia berhenti,
Lagi terkunci...

Kini aku kembali,
MELANGKAH lagi... :)



Dengan CINTA, ku rasa hidupku kembali bermakna,
Walau ku rebah,
Sentiasa ada tujuan untuk bangun semula,
Walau aku tidak kebah,
Harapanku untuk sembuh tak pernah diselangi putus asa,
Hamba padaMu Yang Esa, Sujud MenyembahMu Selamanya~
Izinkanlah aku untuk berCINTA.

Friday, November 19, 2010

Raya Haji


Raya haji kali ni terlampau biasa. Biasa, lebih biasa dari raya-raya sebelumnya.

Segalanya sangat sederhana, seperti tiada apa-apa yang istimewa berlaku.

Namun yang berulang,

Walau dalam keadaan biasa atau luar biasa,

Ialah kisah Ibrahim dan Ismail, beserta watak tersembunyi, Hajar.

Artikel, khutbah, msg2 raya, byk yang menyebut tentang mereka di kala raya ini.

Lalu ku bertanya diri sendiri,

Apa sudah maju dalam memahami cerita-cerita itu?

Apakah sekadar tahu, Ismail rela disembelih ayah sendiri, Ibrahim rela berkorban dengan menyembelih anak sendiri, dan Hajar yang setia dan tabah walau ditinggalkan.

Itulah yang aku tahu, sejak dari dulu-dulu.

Sekian hari berlalu, aku semakin menghayati mungkin............

Ku suka watak Hajar yang tidak pentingkan diri,
Rela ditinggalkan suami,
Dengan kesetiaan yang tiada tara,
Membesarkan Ismail,
Dengan keimanan yang terjaga....

Ibrahim jangan bersoal tentangnya,
Ibrahim seringkali idolaku dalam soal kepintaran,kebijakan dan kesetiaannya.
Tiada persoalan.

Ismail itu sering ku kasihankan,
Ditinggal ayah,
Tiba-tiba datang ingin disembelih pula.

Watak mereka semua,
Membuat aku menyoal,
Di mana titik pegangan mereka,
Sehingga segalanya,
Diharung dengan penuh suka dan rela....

Allah.
Allah.
Allah.

Ku nampak Allah di balik segalanya.
Ku nampak jiwa yang menyerah segalanya pada Yang Esa,
Mengapa aku tidak setanding mereka,
Ya kerana aku banyak kepentingan dirinya...

Ku harap Allah melatihku menjadi hamba,
Hamba yang rela melakukan apa saja...
Biar dugaan berat tak terkata,
Hati aman berbuat demi Pencipta....


Tuesday, November 16, 2010

Artikel owh artikel

When is a conceptual framework also a theoretical contribution?

Itu artikel yang baru aku baca.Menarik dan menakutkan. Sebab takder clear boundary nak buat conceptual framework. Dan boleh banyak lagik menda yang boleh dipersoalkan. Nak test tuh nanti, betulka cara kita test. Takpe Allah akan tolong kalau Dia kasi task.

Jika research mengajar aku jadi baik....

Rasanya ya.......

Sebab kalau nak ikut akal, maka perlu baca semuanya...lagi banyak tahu, lagi banyak tak tahunya.

Mujur ada hati. Ikut rasa gerak hati. Hati itu tahu. Namun hati perlu bersih. Hati itu tempat perebutan. Antara ilham tepat dan ilham syaitan yang suka mengelirukan, menanam rasa was2.

Itulah hati. Memang perlu jaga untuk kejayaan dunia dan akhirat.

***

Semalam aku mimpi. Mimpi hari kiamat lagi. Entah sudah berapa kali. Tapi serius tak sure, merepek ke tak. Dalam mimpi smalam cam ada merepek jugak. Confirm bila terjaga tuh, sah2 ni pukul 3...btuilaa...amik henset tgok, 3.15.

***

Rezeki. Hampir semua dari kita, sukar untuk percaya, rezeki itu dari Allah. Ada di mana.-mana Kita hanya tahu. Tapi jelas tidak menghayati. Tidak menghayati konsep 'CUKUP'. Allah menjamin 'cukup' bagi mereka yang bertaqwa. Dalam "cukup" itu ada pula konsep kesederhanaan, berbelanja setakat keperluan, berbelanja dalam sedar heeyy ini milik Allah, aku wakil membelanjakannya, berbelanja dalam ada jawapan, nak jawab apa kat Allah nanti dalam bajet macamni...CUKUP, Allah akan mudahkan untuk cukup, Allah kasi tenang jiwa, Allah kasi paham apa itu bahagia yang sebenarnya, Allah jinakkan nafsu untuk tidak lapar harta benda dunia, Allah kasi perasaan qanaah, sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada. Wohhhhhh....Allah, jagalah hambaMu ini. Pabila di bawah jagaanMu, tiada perasaan yang dapat dilahirkan dengan kata-kata.

Artikel seterusnya : Elements of Research

Sunday, November 14, 2010

Hatiku yang gelap. Ku ingin ia cerah.

Sekali lagi,
Hati terasa dengan penilaian,
Penilaian manusia,
Tentang erti berjaya...

Sudahlah,
Dari kecil,
Disogok hanya dengan erti kejayaan dunia...

Kini ku sudah dewasa,
Tak mahu tertipu lagi,
Dengan khayalan dan fantasia...

Dunia owh dunia,
Sekeliling sibuk menilai kamu..

Hatiku yang rosak,
Punah ranah dengan sifat mazmumah,
Entah siapa yang peduli...

Solatku,
Yang entah sempurna atau tidak,
Diketepikan,
Dan dikaburi...
Jika dunia dalam rangkulanku,
Pentingnya solat itu di awal waktu,
Pun tidak dipeduli lagi...

Ilmuku,
Yang disogok pinta dipelajari,
Untuk merangkul dunia.......
Ya ramai yang peduli tentangnya....

Namun ilmu agamaku,
Yang secetek, cetek entah ingin ku nilai bagaimana ceteknya....
Entah siapa yang peduli tentangnya.....

Namun aku peduli,
Dan kepentingannya penting sekali...
Dan biarlah,
Biar aku saja YANG PEDULI.....

Jika nabi berdoa,
Ya Allah, jadikan rezeki keluarga Muhammad,
Secukup keperluan.......

Umatmu Muhammad,
Memang patut kau risaukan....

Kini ku mengerti,
Mengapa kerisauanmu........

Sehingga pabila kau ingin meninggalkan kami....
Tak lekang dari bibirmu,
Umatku, umatku, umatku...........................

Owh Allah...
Dengarlah rintihanku,
Jangan kau letak dunia dalam hatiku,
Melainkan ia hanya di tanganku.........

Owh Allah..........
Kepadamu aku mengadu......

Lapangkan masaku,
Untuk mendekatiMu...........

Wahai hati, entah siapa yang peduli dengan kesucianmu, betapa bertarung aku dalam hari-hariku, untuk menjaga kamu.

Ku tak mahu menjalar hitamnya kamu,
Dalam arus dunia,
Sehingga tak mampu nanti ku kesan di mana titik hitamnya,
Akibat legamnya ia,
Dalam kebiasaan penilaian dunia

Maafkanlah aku,
Atas ketidakmampuanku,
Memuaskan hati semua manusia,

Kerna aku sibuk mempelajari cara,
Menjaga hatiku,

Dunia,
Banyak perkara dari kamu,
Terpaksa aku korbankan,

Demi hatiku,
Temanku sepanjang perjalanan,
Yang akan dinilai nanti,
Di akhir jalan...

Ku tahu, banyak yang penting...namun mana yang lebih penting pada saat ini, perlu aku dahulukan. Wahai Allah, semoga, jalan yang ku pilih, atas dorongamu. Tiada manusia yang betul-betul memahami aku.

Thursday, November 11, 2010

Kembali kepada agama

Berehat sebentar.

Berehat dengan menulis, daripada menulis.

Berehat dengan menulis blog, daripada menulis proposal.

Mungkin diri ini berjodoh kuat dengan Tekun :). Kenangan di desa ini banyak sekali. Banyak sekali. Ketenangan dan kedamaian, kebanyakannya diperoleh di sini.

Di suatu malam yang tenang, di suatu masaaaaaa duluuuuuu....

Teringat dan terbayang,

Suatu malam di surau tekun....

Suatu malam di malam Ramadan...

Ada takzirah.......

Soalannya..."Rasa-rasa, apa cara yang boleh selesaikan semua masalah kita?" Masih terbayang akak yang hitam manis, wajah tenang tanda senang, selalu berjubah gelap dan berstokin tangan.

Aku hanya memandang, namun hati sudah ada jawapan.

Pasti jawapannya "Kembali kepada agama."
"Kembali kepada agama."
"Kembali kepada agama."

Ya. Memang itulah jawapannya. Pandai saya meneka.

"Kembali kepada agama. "

Berputar lagi ke masa lalu...

Tingkatan 4, tingkatan 5, kita sudah bijak mengarang. Di tingkatan 5, minat mengarang terbuak-buak dengan karangan-karangan berbau fakta.

Soalannya,

"Apakah faktor-faktor ......(sambung la apa-apa). Bincangkan"

Jawapan kepada faktor, pasti merangkumi tiga perkara ini dalam karangan saya :
1. Individu
2. Pihak yang terbabit dengan soalan karangan.
3. Kerajaan

Seringkali,

Ingin sekali, menambah huraian tentang "Kembali kepada agama". Tahu, itu isi yang hebat dan paling tepat. Namun apabila mengira faktor sensitiviti, atau sebenarnya, tak cukup huraian untuk mengurai isi.........

Isi itu ditinggalkan.

Walau sebenarnya, ingin sekaliiii........menyertakannya.

Ya Allah, sentiasalah, menarik hambaMu ini, untuk "kembali kepada agama". Ajari hambaMu ini bagaimana untuk "kembali kepada agama". Jagalah hambaMu ini ketika dia sudah"kembali kepada agama". Jangan Kau pesongkan hambaMu ini daripada "kembali kepada agama". Semoga akhirnya hambaMu ini, berakhir di dunia dalam "kembali kepada agama". AgamaMu Ya Allah. Aku ingin bahagia yang selama-lamanya.

Wednesday, November 10, 2010

Lakaran tulisan

Ketika hatiku terasa,
Jariku lebih pantas berlarinya,
Seperti ada kuasa,
Yang melepas sakti

Ketika hatiku begini,
Ku mampu mengarang
Sejauh mana,
Ku boleh pergi,
Tanpa henti....

Ketika hatiku begini,
Semakin kelu lidah untuk berkata-kata,
Aku tak mampu bicara,
Selain menulis semuanya....

Berikan aku semua pasir di seluruh lautan, ingin ku lakarkan semuanya dengan tulisan~

Selayaknya


Ketika hatiku lelah,
Ku pinta ia sembuh,
Ketika hatiku sembuh,
Ia akan kembali lelah....

Lalu ku pinta,
Redha.

Lalu ku pinta,
Sabar.

Lalu ku sedar,
Aku hanya hamba

Yang selayaknya...
Menerima apa saja.



Apa itu cinta


Jika diri ditanya tentang cinta,
Ku hanya ingin bicara tentang CINTA.
Cukup,
Enough,
Berhenti
Sampai situ.

Hatiku sudah lama tak terusik
Dengan cinta,
Kerna aku sudah terlampau biasa,
Hidup dalam CINTA.

Ketakutanku,
Lenyapkanlah,

Ku tetap mahu cinta,
Yang wujud dalam CINTA.

Halangilah segala cinta,
Pabila ia jauh dari CINTA Ya Allah.

Pujuklah hatiku,
Angkatlah segala keberatan hatiku,
Ringankanlah hatiku,
Dalam CINTAMU.

Sudah lama ku tiada bicara,
Melainkan bicara doa,
Melalui Kau saja.

Moga segala salah paham,
Dirungkaikan semua...
Bukan tak mahu sesiapa,
Cuma ku pinta Kau uruskan segala...

Amin.

Satu demi satu


Biar pasir itu berlalu masuk, satu demi satu...butir demi butir, perlahan-lahan, lalu tercapailah misi pendek ini...

Jangan cuba mendesak

Tekanan boleh membuat kaca itu pecah...

Masa masih ada, buatlah saja yang terbaik dari jiwamu
Jangan cuba mendesak
Tekanan boleh membuat jiwa rosak

Bergopoh-gopoh itu dari syaitan
Bertenang-tenang itu dari malaikat

Percaya dengan pertolongan Allah diriku
Biar setiap misi,
Membuat kita semakin dekat, semakin ingat, semakin bergantung padaNya...

Hati itu Raja


Saya ada inkuiri tentang statistik.

Saya teringin nak interview orang.

Saya teringin nak analyse result dari survey.

Siapalah yang meletak inkuiri dan keinginan yang menolak diri untuk sesuatu?

Dia.

Sekali lagi, ia bukan sekadar logik.

Dan sekarang, saya sedang memikirkan logiknya.

Hati saya telah berkata.

Sekarang akal, silalah berbicara.

Raja sudah membuat keputusan.

Wahai menteri-menteri, sila berhujah dan berbrain storm kamu sekalian, untuk melaksanakan arahan.

Tuesday, November 9, 2010

Ia bukan soal logik.



Minum white coffee.
Excessive energy.



Hidup perlu selalu positif. Namun cukupkah dengan hanya POSITIF.?

Jika pakar motivasi datang kepada diri, dan hanya bicara tentang POSITIF. Nak cakap boleh blah kat dia.

Positif itu tidak kekal.

Positif itu lebih dari positif.

Persoalan...mengapa saya perlu positif?

Kerana saya ingin berjaya?

Bagaimana jika saya tidak hirau lagi untuk berjaya?

Bagaimana jika saya tidak lagi heran dengan sesiapa?

Bagaimana jika saya sendiri tidak hirau lagi tentang apa yang bakal terjadi kepada diri saya?

Jika tiada mampu menjawab semua ini. It maybe lead to - Bunuh diri. Tak perlu hidup lagi.

Namun jika masih terus mencari jawapan untuk hidup, ia peluang besar, kerana kita akan bertemu tujuan sebenar untuk hidup. Peluang besar yang Allah kasi.

Lebih teruk menjunam ke bawah, lebih tinggi lantunan ke atasnya.

Apabila hidup bukan lagi demi mengejar kejayaan dunia yang tidak kekal, apabila hidup bukan lagi berharap pada sayang manusia yang asek hilang ke mana, apabila hidup bukan lagi demi diri demi kepuasan diri sendiri.......................

Nak hidup buat apa?

Di situlah kita bertemu, menyedari, dan menghayati...

Dari mana kita datang,
Ke mana kita akan kembali,
Untuk apa kita dihantar disini........

Hidup menjadi sangat menarik selepas kesedaran itu. Segalanya milikmu. Aku tak bicara tentang tahu, aku bicara tentang sedar.

Positif dan berjaya?

Ya. Di kala segalanya baik mungkin. Sehingga sekarang, kita kenal P.Ramlee sebagai seorang yang berbakat besar. Namun, kita terlupa, kebanyakan filemnya yang berjaya, ketika beliau di Singapura. Bersama adik beradik Shaw. Ketika beliau berhijrah ke Kuala Lumpur, filem pertama beliau di sini, sangat sadis. Sangat. Zaman kejatuhan bermula.

I dont promote filem industri. Ia hanya contoh jelas apabila kita ingin bicara tentang kejayaan. Berjaya buat filem dan dapat banyak untung - No, its not a definition of berjaya pada diri ini. Cuma ia contoh jelas bagi kebanyakan dari kita, apabila kita bicara tentang berjaya.

Ia membuktikan apa. Kejayaan kita bukan kerana kita seorang hero. Masih ramai penyumbang sekeliling. P.Ramlee cthnya, beliau dibantu oleh production team yang superb pada ketika itu di Singapura. Namun di Kuala Lumpur, sukar, sukar, kerana kekurangan tenaga kerja mahir, kurang peralatan. Bayangkanlah, barang yang bagus2 semuanya diguna pakai di Singapura. Bila dah tak pakai lagi, barulah barang tuh akan dihantar ke Kuala Lumpur.

Jika kita sedang menikmati kejayaan dunia ketika ini. Perhatikanlah. Its not about u only. Perhatikanlah, bagaimana Allah meletakkan sekeling kita kepada kita. Cuba buang sekeliling anda itu, dan bayangkan anda berseorang...anda masih mampu positif lalu berjaya? Tiada langsung negatif?

Positif itu lebih dari positif.

Mainan TAKDIR, jangan pernah diperkecilkan kuasanya. Itulah rukun iman ke-6, percaya kepada qada' dan qadar.

Andai ada seorang yang datang, bicara lagi tentang positif membawa kejayaan.
Andai ada seorang yang datang, bicara lagi tentang usaha membawa kejayaan.

Aku tersenyum sahaja. Tiada mampu menghurai apa-apa. Berdiam dalam berkata.

Kajilah variable anda itu sebaik mungkin. Betulkan ia benar-benar related? Sila beri sampel kawalan, dan sila beri how the hypothesis suit all the situation.

Taknak yang tak suit all. I want all.

Define. Kejayaan itu apa? Truly define.

All my life, I'm searching apa itu berjaya. Apa itu bahagia. Dan aku bertemu ramai manusia yang salah mendefinisikannya.

Kita memburu perkara yang salah. Jika perkara yang diburu itu salah, adakah niatnya mungkin betul?

Sedangkan segala perilaku kita dinilai niat?

Allah itu Maha Teliti.

Kemudian muncul pelbagai motivasi. Motivasi itu baik. Namun bagaimana ia baik, jika ia sedang mengajar kita mengejar yang salah?

Jangan bicara tentang Sulaiman yang kaya raya dan memiliki kejayaan dunia.
Mungkin kita patut bicara tentang Firaun dan Qarun yang kaya raya dan memiliki kejayaan dunia.

Kita hampir ke mana?

Jawab dengan telus.

Atau tiada ilmu untuk berani bicara?

Atau tiba-tiba tersedar kita tak pernah mencari ilmuNya.

Sedarilah, kalau tanpa ilmu.........kejayaan dunia tak akan membawa kita kepada Sulaiman. Selain ia sangat menghampirkan kita kepada Qarun dan Firaun.

Semua ini memerlukan renungan yang panjang berjela. Dan sangat memerlukan hidayah Allah dan bimbingannya.

Berjaya itu sangat sederhana ertinya di dunia, namun bombastik pengertiannya demi akhirat.

Bosan, dengan yang masih bicara akan logik untuk berjaya. Logik kamu boleh buang ke tepi andaikata kamu diuji dengan ujian bertalu tak henti-henti.

Owhh manusia, owhh kita manusia......

Seringkali kita lupa, kita wakilnya. Tugas kita menyampaikan nikmatnya kepada satu sama lain dalam melalui hari-hari.

Jangan fikiranmu terperah dalam mengejar KPI, jangan kamu tidak ingin menolong orang lain di saat kamu sendiri sedang mengejar sesuatu demi dirimu.

Selamilah, dan lihat lebih dari itu.

Pelajarilah, untuk memudahkan kehidupan orang lain. Allah akan permudahkan kehidupan kita. Jangan berlakon. Kita bukan sekadar membawa PERSONALITI begitu, namun perlu berCHARACTER begitu.

Personaliti itu apa yang ditampilkan.
Character itu siapa diri kita yang sebenarnya.

Tiada guna berbuat sesuatu, namun ada rasa tidak puas dalam hatinya, lebih teruk, andai ada sumpah seranah dalam hatinya.

Kekuatan Allah beri, untuk kita memudahkan kerja orang lain. Sengaja Dia ingin menguji, samada kita rela berkongsi. Atau kita lupa diri, dengan keupayaan yang diberi.

Ini bukan soal logik. Dikala kita merasa tersekat tidak mampu melakukan sesuatu, bergeraklah untuk membantu orang lain, dengan sesuatu yang kita mampu. Nescaya bantuan akan sampai, untuk membantu dirimu yang sedang tersekat itu.

Ini bukan soal logik.

Keikhlasan,
Keberkatan.

Variables itu jangan pernah dipermainkan.

Ini bukan soal logik.

Hey api itu panas. Ahmad Fahim pun tau. Itu logiknya. Atau itu general knowledgenya.Namun Ibrahim salju dingin takkala dibakar di dalamnya. Kita ingin mengambil teori logik dari mana?




*Ia bukan soal logik, tidak bermaksud menolak logik, namun soal hidup lebih dari sekadar logik. Jika benar kamu insan tulen akan logik semata-mata, sukar untuk aku meneruskan bicara dengan kata-kata. Semoga Allah sentiasa memberi ilham kepada kita. Aku hanya hamba. Kau juga hamba. Ya kita sama-sama hambaNya. Semoga kita makin bijak dalam menganalisa rahsia-rahsia dariNya, yang pastinya melangkau, logik-logik manusia.

No excuses wahai hamba



Ku ikut cakap hati...



Wahai hamba,
Mengapa kamu gusar melalui dunia?
Bukankah kamu hamba,
Wakil Allah di dunia?

Jika kamu hambaNYA,
Allah itu Maha Pengasih,
Lagi Maha Penyayang,
Dia cukupi semua bekalanmu,
Bagi satu misi di sini..

Jika kamu ikut cakap hati,
Kamu pasti tahu,
Takkala menghulur wang alat dunia,
Kamu sedang membelanjakan milik Allah adanya...
Bekalan yang Dia sediakan,
Untuk kamu khalifah di bumi...

Jika kamu ikut cakap hati,
Kamu pasti tahu,
Gerak kamu melaksanakan kerja hari ini,
Adalah arahan dariNya,
Sebagai salah satu task dalam misi kamu di bumi,

Segalanya,
DariNya,
Bukankah begitu wahai hamba?

Jika begitu mengapa gusar,
Kamu terus berjalan,
Belajar mendekatiNya,
Pasti Dia tunjuk jalan,
Selepas belajar praktikkan,
Kamu akan mengerti apa itu keindahan....

Pabila indah,
Nyaman saja hidup ini,
Walau apa saja misi,
Yakinmu kerana yang abadi....

Sedarilah diri,
Melangkahlah hari ini,
Dalam menyedari,
Ia cuma misi.................
Kamu pastikan pulang,
Untuk berehat riang di sana nanti..

Berpeluhlah,
Berpenatlah,
Berusahalah,
Semaksimum mungkin,
Demi misiMu wahai khalifah di bumi...

Berusahalah,
Sehingga lelahmu nanti,
Ditelan nyamannya angin bayu...
Di sana jua.......
Tiada alasan wahai Aszifa, tugasmu berbuat baik sesama manusia, kamu wakil Allah, khalifahnya dalam menyampaikan pelbagai nikmatnya. Tiada alasan wahai Aszifa, teguhkanlah hati itu dalam melangkah. Ikut cakap hati. Yang sentiasa sedar kamu akan kembali.

Monday, November 8, 2010

Arrogant


"He is quite arrogant...arrogant skitla" bicara rakanku yang memang banyak cakapp tu.. Aku angguk2 je...sambil mengunyah ayam yang agak liat, berusaha menghabiskan nasik yang masih banyak...

Terimbas pula, scene tuh.

Arrogant. Betul ke dia arrogant. Dah lama aku tak judge orang. Mungkin peristiwa harini mengingatkan aku, samada dia tuh arrogant. Whooaaahhh...who cares? Tipula, aku care.

Arrogant. Ini adalah salah satu perkataan hikmat dalam hidup aku. Arrogant.

Sehingga aku lali. Terlampau lali dan tidak berasa apa-apa lagi. Sehingga aku lupa, insan di depanku arrogant mungkin.

Arrogant itu complex.
Arrogant itu complicated.
Arrogant itu sukar disembuhkan.

Aku lali. Lagi mangli. Cakap mau tinggi saja. Cakap tak mau kalah. Kalau ada pendirian, benar-benar nak tegakkan. Ego! Ego banyak sampai nak meletup. Kata-kata sindiran boleh jadi pedas!Kalau rasa nak cakap, cakap....x pertimbangkan langsung perasaan orang lainkah? Emosi tak stabil..kejap begitu, kejap begini. Kejap baik, kejap senyum, kejap dingin! Aperkah? Semua ikut kamu sajakah? Ya, semuaaa kamu. Kamu saja yang betulll!

Itu bukan definisi arrogant. Namun seringkali, itu pandangan yang mengisi orang sekeliling apabila kamu dikatakan arrogant. Itu seringkali pandangan sekeliling pada kamu, samada terluah, atau tidak terluahkan!

Aku lali. Lagi mangli. Sangat lali dan mangli.

Jika arrogant seringkali dikelirukan dengan confident, seorang yang arrogant tidak mampu confident jika tanpa arrogant. Tiada confident lalu jadi apa?

Entah aku telah lama lupa.

Ku seringkali tutup mata. Ku buka mata hati.

Yang ku nampak adalah jiwa yang rapuh. Jiwa yang sanggup berbuat apa saja demi yang disayang. Namun tetap berlawan antara jiwa yang sebenar, dengan jiwa yang ingin ditonjolkan.

Jika dipertontonkan jiwa sebenar itu pada seluruh dunia, maka mungkin jiwa itu rela menjadi hamba pada sesiapa saja, demi cinta dalam hatinya. Dalam jiwa itu ada banyak cerita.

Namun seringkali berkonflik dengan keeogaannya.

Dalam jiwa itu sering ada perlawanan. Hampir tidak habis peperangannya.

Jangan menembak dia dengan senjata bising.

Sapalah dengan penuh kelembutan.

Bukan saja kelembutan luaran.

Namun kelembutan hati.

Dia tak hirau suaramu yang tinggi.

Dia tak hirau faktamu yang tepat sekali.

Dia tak hirau tentang bagaimana kamu rayu tangis menangisi.

Kelembutan hati. Lidah yang tidak perlu berbicara. Suara yang tiada dengar. Hanya suara hati yang tersimpan dalam.

Kaitlah kelembutan. Kelembutan pada hati. Ketulusan pada hati yang memahami. Keikhlasan pada hati yang sentiasa berharap yang lebih baik pada dia.

Bersuara saja dari dalam.

Aku lali, lagi mangli.

Diriku hanya berdiam. Namun hatiku sedang bicara. Kerna bicara hatiku tidak perlu melalui egomu. Bicara hatiku tidak perlu menyentuh egomu. Bicara hatiku terus sampai pada hatimu.

Tidak perlu gentar menghadapi kamu.

Allah pemilik segalanya tentang kamu.


*Allah banyak mengajar diri, dengan menghantar insan-insan sebegini yang sering mencuit inkuiri. Allah mengajar erti berserah yang sebenarnya. Allah mengingatkan diri ini, sejauhmana entah bagaimana jenis manusia yang kita terpaksa berdepan dengannya, namun Allah sajalah yang memegang ubun-ubunnya, memegang hatinya. Lidah dia tak mungkin kelu, namun akan kelu, jika Allah kelukannya. :) Sudah agak lama aku melupakan. Melupakan characteristic manusia. Ku serah saja semua, pada Allah yang Maha Esa. Aku hanya hamba. Kau juga hamba. Ya, kita ini sama-sama hambaNya :)

Hidup bersujud dalam keindahan


Selesai lipat baju,

Nak kemas buku-buku di rak,

Rak atas.....tertarik sebuah buku Hamka, terlintas untuk membuka...

"HIDUP ITU UNTUK APA?"

Mukasurat yang diselak terus menampakkan pertanyaannya pada bait pertama dalam paragraph..

Mata mengarah ke atas, mencari tajuk chapter ...."Hidup dan Keindahan".

Owh dah penah baca dulu...hati yang tertarik dengan peringatan, meneruskan pembacaan.. Kerusi ditarik, posisi biasa, berdepan dengan laptop di atas meja , berdepan dengan tingkap utama...


Hidup itu untuk apa?

Alangkah murahnya nilai hidup ini, kalau hanya semata-mata terbatas pada kebendaan. Apalah harganya manusia ini kalau fikirannya hanya tertuju kepada nasi dan gulai, roti dan garam. Tak pernah matanya singgah kepada bunga yang sedang mekar atau bintang berkelip di halaman langit.

Pause, menjenguk sebentar ke luar tingkap, mata mengarah ke langit indah yang biru...tampak kukuh gunung yang mewarnai separuh langit biru dengan warna hijaunya yang menyejuk mata. Diri ini tersenyum, terima kasih Pencipta...atas peringatan pada hati.

Mata mengarah ke bawah ingin menyambung pandangan pada pokok. Terpandang lelaki dan perempuan berjalan bersebelahan. Ooops, tak besh..kenangan tak indah :)...

Mata melirik semula pada paragraph kedua..

Alangkah kersangnya hidup itu, kalau kerja petang pagi, siang malam, hanya menghitung membilang, membagi, membuat kali-kali. Memperinci ilmu pasti pada alam, tetapi tak meresapkan keindahan yang ada dalam alam.

Tubuh menghendaki benda untuk menyuburkannya; dia hendak makan, hendak berpakaian, hendak bertempat tinggal. Akal berkehendak kepada bahan yang akan difikirkan menurut undang-undang berfikir(logik). Tetapi di samping tubuh dan akal, ada lagi perasaan halus ('atifah atau gevoel)

Yang meninggikan semarak perasaan halus itu ialah keindahan.

Hmm...Hmm...hm,,,hmmm...~^hmm~Hmm~. Automatik ada suara keluar dari anak tekak, seolah2 melagukan sesuatu..diri bertanya, lagu apa nihh ehh....ingat iramanya, tapi liriknya tiada...lagu apa nihh ehh...Suara irama itu bersambung2..seolah diri merasa apa itu keindahan yang sebenarnya...

Perasaan ialah garam hidup. Dengan perasaan manusia merenung, mencari ketenangan dalam pergolakan. Menampak bahagia dalam sengsara. Menampak jernihnya masa depan dengan nada rendah mengendur, itulah dia muzik dari kehidupan.

Ketepikan sebentar buku, anak panah mouse ditarik kepada RealPlayer yang sudah sedia terbuka, mengarah ke icon '+'. Mengnarowdownkan folder. Mp3->Lagu->@Religious ->Opick. Ya, irama ni lagu opick...tapi lagu mana satu ni, x ingat.....

OpicK - Album YA RACHMAN
Opick - Dibawah Langitmu(Full Album)
Opick Shollu Ala Muhammad

Satu demi satu folder dibuka, x jumpa pun mana lagu tuh..memang tak ingat...add je la beberapa lagu..

Dibawah langitmu
Dunia tanpa cintanya
Andai waktu memanggil
Mendambamu
Opick Ft Melly - Takdir

Ok. Play.

Perasaan, apabila diasuh-diasah, tajamlah dia untuk mencari yang indah. Sehingga dilihat orang di luar dinding, disangka orang seksa, padahal bagi orang dalam dinding dirasai nikmat.

Hmmm~^hmmm~^~hmmm~.....berirama lagi...... berselang seli sambil menghayati bacaan..

hmmm~~........terus irama itu bersambung untuk berduet bersama Opick........

......Di bawah langitMu~
Bersujud~
Semua memuji memuja AsmaMu~
Dan bertasbih semua makhlukMu~
Tunduk berharap~
Cinta dan kasihMu........................~

Manusia sejak dia dijelmakan, selalu merentangkan tali di antara alam dengan hatinya. Tumbuhlah kehalusan perasaan itu dengan sederhana pada mulanya, kerana melihat keindahan langit, kesuburan bumi dan keluasan laut, warna-warni bulu burung dan mekarnya kembang, matahari terbit dan terbenam. Tetapi kerana beratnya tekanan hidup, mencari beras seliter kadang-kadang kendurlah tali hubungan hati dengan alam itu atau pudar sama sekali. Demi apabila keperluan sehari-hari beransur kemakmurannya, mulailah dirasai bahawa hidup bukanlah semata-mata mencari makan. Hidup bukanlah semata-mata tekun mencari ilmu. Ada yang lebih tinggi dari makan dan ilmu, iaitu kehalusan perasaan buat menangkap yang indah, yang ada di keliling diri.

Bila ini tercapai, inilah "Hidup".

Bacaan, tulisan dan irama seolah bersatu....Angin ku rasa sejuknya kamu memeluk aku..
Ku rasa sedang bersatu dengan alam, untuk bersujud bersama bintang yang sedang muncul sekarang...

Ku pejam mata,
Benarlahh...
Yang ku lihat......
Kami semua sedang bersujud padaMu Ya Tuhan.......bersujud dalam keindahan~

......Di bawah langitMu~
Bersujud~
Semua memuji memuja AsmaMu~
Dan bertasbih semua makhlukMu~
Tunduk berharap~
Cinta dan kasihMu........................~

Bila ini tercapai, inilah "Hidup".



*Pandangan Hidup Muslim - Prof Dr. Hamka - pg 81-82
*Opick - Album Di Bawah LangitMu - Dibawah langitmu

Sunday, November 7, 2010

Sejarah P.Ramlee


Mencuri masa sebentar, untuk menulis sesuatu. Mengulas mungkin.

Aku suka sejarah. Aku itu sejarah. Sejarah itu aku. Minat yang tinggi dengan sejarah, muncul tika umur 14 tahun mungkin. Sangat meminati bab tokoh-tokoh perjuang tanah melayu, Dol Said, Tok Janggut, Dato' Maharajalela, etc, yang bersungguh-sungguh memperjuangkan tanah tempatan.

Minat kepada sejarah itu, membawa diri membelek2 buku2 biografi mudah. Ralit pula membaca kisah Christopher Columbus dan misi pelayarannya, serta buku2 seumpamanya.

Semasa kita kecil, kita tak kenal siapa kita, kita harung hidup kerana minat. Pabila dewasa, kita mula menganalisa. Benarlah, aku peminat kepada manusia, tambahan lagi manusia yang tinggi cita-cita, berjiwa besar, dan berjiwa pejuang.

#History tetap menjadi pujaan hati :). Kerana ia penuh kisah2 sejarah. History yang ditonton semalam, menggamit hati untuk menulis di sini. Menonton biografi Mahathir, tidak se-emosi menonton biografi ini. Ada tangisan yang menyertai biografi P.Ramlee.

Aku menonton nilai. Nilai dalam kehidupan seorang pejuang Melayu. Pejuang filem-filem Melayu.

Dari kecil, aku tahu, kehidupan P.Ramlee ini byk ranjau. Kisah perkahwinannya saja sudah mengkonfiuskan. Ditambah dengan cerita kesusahan, dan kemiskinan di akhir usia.

Cuma semalam, kronologi hidupnya, tersusun teratur dalam minda.

Di akhir kisah, ada tangisan diri yang mengiringi biografi ini. Tak dapat diri ini mengulas tentang kehidupannya sebagai seorang pelakon, ya, yang sudah pasti mempromosi kisah aurat terbuka dan seumpamanya. Biar Allah saja yang menilai segalanya.

Namun tangisan itu kerana melihat jatuh turunnya hidup, perit getirnya hidup. Emosi itu tertarik, dengan kisah cinta seniwati dan biduanita. Tak dapat diri ini menipu diri, agak tersentuh dengan cinta Saloma pada suaminya.

Hidup mereka sememangnya jauh. Sekali lagi terasa Islam itu di mana. Entah~.

Kisah kenakalan P.Ramlee dari kecil, bersama rakannya Suwardi, memenuhi episod2 awal dalam biografi ini. Ia menjawab inkuiri tentang kenakalan P.Ramlee yang jelas tampak dalam filem-filem beliau. Kenakalan yang tersendiri :)

Rupa-rupanya, P.Ramlee pernah bersekolah di sekolah milik Jepun. Di situ dia belajar formal dan juga muzik. Kerana kemahirannya yang tinggi dalam penulisan, beliau ditempatkan di bahagian Torpedo. Dipimpin Jepun, pasti beliau terdidik dengan disiplin yang tinggi. Kan?

Kisah beliau merantau ke Singapura berlaku di awal pagi Syawal:) Entah mengapa pilih hari tersebut:) Kisah keluarga, kisah adik beradik, tidak banyak yang disentuh. Kisah hidup awal, hanya setakat bersama Suwardi.

Kisah setelah merantau ini, yang paling banyak mengundang emosi naik turun diri ini. Tak sanggup mengulas, penat melihat perjalanan hidup P.Ramlee. Penat jua, mungkin kerana, bidang dan dunia hiburan, bukan dunia diri ini...tidak pernah diri ini menyukai, kehidupan artis yang berpopulariti. Lahir seolah untuk menderita. Dijulang ketika menjulang. Dihina takkala terbuang.

Kisah adik beradik Shaw yang melebihkan P.Ramlee berbanding pengarah-pengarah lain, hanya kerana wang dan money? Mungkinkah? Di saat untung, apa saja diberi. Sehingga kini, mereka saja yang mengaut royalti. Itukah dunia? Ditambah konflik pemulau-an P.Ramlee dari wartawan dan orang-orang seni yang dengki. Sekali lagi, itukah dunia?

Yang diri ini tampak, P.Ramlee seolah tak menghiraukan wang atau dengki. Tampak nilai keikhlasan dalam dirinya yang memperjuangkan SENI FILEM MELAYU. Sehingga akhir hayatnya, tak pernah putus asa untuk melihat Filem Melayu bergerak menjadi lebih baik, lebih baik, dan lebih baik. Diri ini tak bicara tentang perjuangannya yang mungkin tidak selaras dengan perjuangan seorang Islam.

Namun diri ini memerhati nilai dalam dirinya pabila bicara tentang Perjuangan. Nilai keikhlasan, nilai kemurahan hati, sentiasa ada dengan P.Ramlee. Tak pernah dengki, berbaik dengan semua manusia, berbuat senang hati semua yang berada dengannya. Tak mungkin menipu, diri ini terharu.

Peritnya hidup, bagi diri ini yang memerhati, sepanjang perjalanan hidup P.Ramlee. Namun yang paling perit, antara 1972-1973. Setahun yang menyembunyikan kesedihan dan kesusahan hati di sebalik wajah gembira tak berduka. Walau tiada siapa yang peduli lagi. Kontrak yang tidak mungkin disambung lagi dengan EMI, kesusahan sehingga terpaksa membuka meja mahjong, artis yang julang kemudian mencari rezeki dengan menyanyi bersama isteri di majlis perkahwinan, menjadi juru acara majlis-majlis kecil, menambah terharu diri ini dalam memerhati kronologi.

Namun peribadinya, tetap diri ini kagumi. Semoga pemergiannya pada 1973, dalam tidak dikenang orang, dilupakan, seolah dihina akibat tiada lagi harta, pangkat dan nama....membawa ingatan yang tidak terhingga pada Allah Yang Esa. Kalau mengingat lagi, pasti mata ini berkaca.

Kronologi hidup yang sebegitu, membuatkan diri ini semakin kuat dalam meneguhkan pendirian, "berbuatlah kerana Allah", "dunia ini tidak kekal", "jangan salah berjuang", "berjuanglah dalam nilai yang paling disukai Allah".

Kata P.Ramlee pada Aziz Satar, Aziz, kalau aku mati sehari, orang akan ingat aku 1000 tahun lagi...

Tetap diri ini tampak nilai tidak meminta pada diri P.Ramlee. Tiada dendam, tiada mengeluh...hanya terus patuh dalam meneruskan hidup. Benar2 berharap, semoga beliau pergi dalam tersenyum. Seperti kata Ahmad Nawab, jasad kakunya seolah tersenyum.

Sungguh diri ini melihat dunia dalam kisah P.Ramlee. Dan layaklah merindui akhirat yang sejati.

Kita belajar dari sejarah. Jika sejarah seringkali berulang, adakah kerana kita tidak belajar darinya? Atau sememangnya hidup kita semua hanya untuk mengulang sejarah?

Diri ini teringat buku Agung. Yang di dalamnya terkandung pelbagai kisah yang dianggap sejarah. Namun sejarah bukan sejarah. Bukan untuk dihafal fakta dan kronologi, melainkan ia kisah hidup, untuk dihayati, dipelajari, kemudian diperbaiki dalam diri.


Saturday, November 6, 2010

Tak bisa lepas dari dosa

Pabila hamba itu merasa berdosa,
Dan ingin berpaling dari yang Esa,
Dirinya tak mungkin lagi,
Berbuat apa-apa...

Mana mungkin kamu,
Yang hanya hamba,
Bekerja dalam meminta izin Pencipta,
Setia dalam hari memuja dan menyembah Dia...

Jika berpaling,
Kamu ingin terus berbuat apa?

Lalu,
Berpalinglah semula,
Ke sini...

Walau setinggi mana malu mu,
Atas dosa kehendakmu...

Dia sentiasa ada,
Untuk memaafkan kamu...

Yakinlah dengan kasih sayangnya,
Yang sentiasa menyayangi kamu....

Aku mengerti Engkau Maha Adil,
Namun jua ku turut mengerti Engkau Maha Pengasih lagi Penyayang,
Ku mohon ampun,
Atas kasihMu,
Ku mohon ampun,
Atas sayangMu...
Ya Tuhanku,
Maafkanlah aku...
hambaMu

Friday, November 5, 2010

Mari Berlumba



Dunia sememangnya tempat berlumba.

Ya, berlumba antara kita.

Persoalannya, berlumba dari segi apa?



"Akak, saya nak gamba dekat sini, NO 1, bagi nampak perkataan FINISH" sambil menunjuk ke arah trek berNO1. :)

Terlintas terus di hati, aku di sini BERLUMBA untuk apa?

Mengapa mahu NO1? Mengapa mahu FINISH?

Terlintas perkataan LUMBA dalam Buku Agung.

Usai makan pagi, makan tengah hari, diri ini mengedit2 gamba, selesai upload di FB.

Tergedik2 jari, mencari, "LUMBA" - Quran Reciter.... menilik dan memerhati, tak salah apa yang aku terlintas tadi...

Sudah 25 tahun aku hidup, mencari TUJUAN HIDUP yang sebenarnya. Bertahun, Akhirat dan Dunia seringkali menjadi kata-kata kunci. Tak habis2 dengan comparative study.

102:001 Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),

057:021 Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.

Cukuplah aku berlumba, berlumba-lumba, untuk menjadi hanya HAMBANYA.

Finish!
Duduk diam2 dan bersenyap2, bertenang2, dan jawapan itu sentiasa ada. Sentiasa ada.

Thursday, November 4, 2010

Betapa kita ingin,
Andai tidak dipermudahkanNya,
Tidak mudah juga...

Betapa kita ingin,
Andai tidak dilapangkanNya,
Tidak lapang juga...

Ingin tetap ingin,
Biar ia tetap dalam hati,
Biar nanti mati dalam ingin,
Dari mati dalam tiada ingin lagi...

Biar Dia saja yang menilai hati...

Wednesday, November 3, 2010

Evaluate

Arini kakak saya bagi berita gembira! Hubby dia posting ke SP. huhu!

Ntah tak terbayang perasaan tuh...gembira sangat! Suka bila semua ahli keluarga boleh duduk dekat2....Klau duk satu rumah lagik besh tuuuhh!..kiki..For a while duk satu rumah la, sementara nak carik rumah sewa kan. :) Thanks Allah!

Arini ader poster presentation, n luckily or tak lucky pun tak tahulah, ramai jugak yang tak sempat dievaluate, so myself pun postpone la jugak. :) Allah tahu yang terbaik. Redha dan tawakal.

Tech writing, poster presentation, kelas2, talk2, seminar2...pegilah, increse semangat untuk research. :)

Research bukan kerana research itu sendiri, perjalanannya~~.Research ialah satu process, research ialah satu journey.

Mengapa saya berada di sini? Jawapan tuh kena kuat, sebab akan tanya diri sendiri, berkali2. Jatuh bangun semula. Demi suatu cita-cita.

Pemilihan supervisor yang tepat juga penting. Setiap orang juga manusia, ada kelebihan dan kekurangannya. Kena tolerate sangat2. What kind of supervision u want most? Cause we wont get somebody yang perfectly suit us.

Ada determine kah? Anda ingin finish on time kah? Anda nak rilex2 kah? research is part of ur life, or ur life is research kah?

Klau pikir memang byk hal. :) Selalulah pikir, Allah salu beri apa yang kita perlu. Rahsianya, terkadang kita tahu, terkadang kita tak berapa tahu, terkadang kita memang tak tahu langsung. Namun kita akan tahu, kerana kita semua akan dievaluate di tempat asal kita nanti :). Akan tahu jugak, cuma kena SABAR sementara nak tunggu balik sana.

Allah has teaches me a lot, dengan perkara2 baru dalam tempoh 3 tahun kebelakangan nih. Jangan abaikan faktor KEBERKATAN dalam hidup.

Kadangkala, kita selalu nampak, ok logicly, apa yang kita patut buat? Kita selalu tinggalkan soal keberkatan.

Sebnarnya keberkatan tuh sangat penting.

In this 3 years, Allah mengajar diri ini, byk menda2 dan nilai2 yang tak nampak, berkat, ikhlas, erti rezeki yang sebenarnya.

Sesuatu yang abstrak mungkin. Sesuatu yang tidak dibicarakan dunia. Sesuatu yang begitu terpinggir dalam kokurikulum negara kita. Sesuatu yang hampir tidak ingin dievaluate oleh sesiapa.

Sesuatu yang begitu penting, namun jauh ditinggalkan.

Benarlah, dunia ini bukan tempat tinggal diri ini. Cuma menumpang lalu. Ambillah apa yang perlu.

Perjalanan yang panjang. Mencari TUJUAN hidup yang sebenarnya. Menjawab inkuiri hati, mengeksplorasi dan bereksperimen sendiri. Berpeluang membuat comparison, antara tempat lalu, dan kampung sebenar. Macam buat research pulak!

HambaMu minta Engkau pandu. HambaMu yang sedang memohon ilham dalam kelabu.